RSS

Friday, June 3, 2011

Bahagiakah Kita?

B.A.H.A.G.I.A… Sejauh mana kita memahami maksud bahagia dan sejauh mana kita menjalani hidup demi mencari damai yang abadi? Tepuk dada, tanyalah iman… Kadangkala dugaan yang diberi sebagai bunga-bunga ujian itu kita anggap sebagai ketidakadilan dari Yang Maha Esa…sehingga kita terlupa tiada makna bahagia yang sempurna kerana istilah bahagia itu sebenarnya amat subjektif. Dalam kehidupan sehari-hari, bermacam-macam jenis manusia yang kita jumpa kan? Bak kata seorang sahabat, “Dunia ni pelik… manusia pun pelik-pelik…”. Ada manusia yang suka menyumbang demi kebahagiaan orang lain ---kerana merasa bahagia apabila orang di sekelilingnya bahagia. Ada manusia yang suka kepada kepentingan diri sendiri --- kerana hanya dengan cara itu dia dapat merasa erti bahagia. Ada juga manusia yang tak senang melihat kebahagiaan atau kesenangan orang lain, bila tak senang hati pun sakit. Untuk bahagia, dia akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya (menjaja cerita, membuka aib, dan sebagainya). Kerana dengan tindakan itu akan membuatkan dia puas dan rasa bahagia. Ada orang yang miskin harta tetapi tetap merasa kebahgiaan itu miliknya selagi berada di samping orang-orang tersayang. Ada manusia yang tidak memerlukan orang lain di sisi dan hanya merasakan bahagia itu miliknya apabila angka-angka di dalam akaun bank sentiasa membesar. See…. Bahagia itu sesuatu yang subjektif bukan?

Erm, kalaulah bahagia itu boleh dibeli seperti membeli ayam goreng semudahnya di Drive Thru… kalaulah bahagia itu boleh ditanam dan dijaga seperti semudahnya kita membela lalang-lalang di belakang rumah… kalaulah bahagia itu mudah untuk diberikan semudahnya bait-bait kata yang keluar dari bibir (tidak perlu bayarpun)… Pasti tiada istilah berduka dan jiwa lara kerana mimpi kebahagiaan yang tidak tercapai…

Kadangkala apabila ditimpa musibah atau dugaan yang tidak tercapai dek akal, kita memerlukan masa BERSENDIRIAN untuk menyingkap ketenangan merenung erti bahagia… Bukanlah segala apa yang kita impikan di dalam hidup ini kita akan dapat. Sebagai manusia kita hanya mencuba untuk melakukan yang terbaik dalam hidup dengan harapan segala yang DIA berikan untuk kita akan menjadi sempurna. Apabila kita telah mekakukan yang terbaik demi melihat bahagia dari sudut fikiran kita sendiri, namun terdapat anai-anai perosak yang mencabar harapan kita, adakah kita yang bersalah? Adakah ibu bapa yang bersalah? Adakah orang sekeliling yang bersalah? Atau mungkinkah kita sendiri yang tidak pernah mahu bersyukur…? Kita tidak mampu menghalang apapun yang telah berlaku…hanya perlu berdoa untuk dikurniakan hikmah di sebalik musibah yang menimpa… Mungkin perlu disisihkan rusuh hati, mungkin perlu dilupakan kecewa yang mengikat perasaan, mungkin perlu dibutakan mata apabila melihat bahagia orang tidak seperti seadanya yang kita miliki…

Apapun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti… Apapun yang berlaku USAHA dan DOA adalah segala-galanya. Mampukah diri untuk bertahan? Sandarkan pada Yang Esa walaupun tidak dapat memadamkannya di sebalik rintihan hati yang tersembunyi. Semakin terduga jalanan yang bernama KEHIDUPAN ini, semakin besar kasih-sayangNYA kepada kita…Wallahualam ~