RSS

Monday, June 20, 2011

H.O.M.E .S.W.E.E.T.H.O.M.E


Rumah? Siapa yang tidak mahu berada di rumah? Tak kiralah rumah kita tu banglo ke, pangsa ke, pondok buruk ke… kita mesti selalu teringat rumah kita kan? Rumah tempat kediaman yang pastinya mempunyai nilai sentimental ketika bersama keluarga tersayang Rumah… tempat kita bersuka ria dan berduka sama-sama dengan adik beradik dan kedua orang tua. Sejauh mana rasa bahagianya ketika berada di rumah, bergantung kepada kita yang mencorakkan suasana di dalam rumah… Erm…. Tapi, kalau orang yang tinggal keseorangan macam mana ye? Nak corak dengan apa? Pensil? Water colour? Buncho? Luna? Itu pun terserah kepada diri sendiri.

Bercerita tentang R.U.M.A.H, teringat pula kepada nenda tersayang yang telah pergi menghadap Ilahi semenjak sekian lama… Syarifah Mariam, itulah nama indah milik nendaku. Nendaku semasa hayatnya sangatlah suka berpantun dan bersyair. Antara yang aku masih ingat adalah rangkap ini :

“Bismillah itu awal perkataan, baca saudara dengan kesukaan… fahamkan makna jangan kedukaan, isyarat kepada sekalian ikhwan…”

Wahhhh ! Sangat indahkan bahasa yang dilagukan di dalam syair ini? Malangnya aku tidak mampu untuk mengingati lebih banyak, apalagi keseluruhan syair itu! Ketika aku sempat bersamanya semasa hayatnya masih ada, beliau menghidap penyakit nyanyuk yang sangat kronik… sehingga tidak mengenali anaknya sendiri. (Hurmmm, terfikir pula, bagaimanakah aku ketika 60 atau 70 tahun akan datang? Hidupkah? Matikah? Nanyukkah? --- yang pasti bukan kerja kita, hiduplah dengan sabaik-baiknya kerana DIA MAHA MENGETAHUI)

Yang paling melucukan tentang nenda tersayang (oleh kerana beliau nyanyuk), beliau sentiasa mengeluarkan kata-kata , “Aku nak balik,” walaupun ketika itu beliau telah berada di rumah beliau sendiri. Betapa kuatnya ingatan nenda terhadap terataknya sebagai saksi kehidupannya dan anak-anak. Pahit ke, manis ke, masam ke, masin ke… pasti rumah yang selalu akan kita ingat walau di mana berada. Kiranya, dalam dunia globalisasi sekarang, pengaruh positif dari dalam rumah itu amatlah perlu kan? Dari rumahlah bermulanya warna sebenar kehidupan yang akan ditempuhi oleh anak-anak ketika keluar dari rumah. Kadang-kadang terdapat manusia yang tak suka balik ke rumahnya. Mungkin kerana bosan, sunyi, pergolakan di dalam rumah tangga,.. Mungkin juga tidak menyukai suasana yang aman di rumah kerana mahukan sesuatu yang berbeza. Walau apapun, percayalah, sejauh mana kita melangkah, sejauh mana kita tercampak, sejauh mana kita lari, kita tidak mampu menepis perasaan “Nak balik ke rumah!” walaupun sudah nyanyuk!

Rumah yang seindah syurga mungkin terapi yang baik untuk seorang manusia yang merindukan kebahagiaan dan kerukunan suasana di dalam rumah. Rumah yang dianggap sebagai neraka pula mungkin serasi dengan diri individu yang tidak pernah merasakan kebahagiaan dari dalam rumah. Hiasilah dunia “rumah” agar kita tidak timbul perasaan yang ‘asing’ terhadap rumah sendiri. Segala-galanya bermula dari RUMAH !

Friday, June 3, 2011

Bahagiakah Kita?

B.A.H.A.G.I.A… Sejauh mana kita memahami maksud bahagia dan sejauh mana kita menjalani hidup demi mencari damai yang abadi? Tepuk dada, tanyalah iman… Kadangkala dugaan yang diberi sebagai bunga-bunga ujian itu kita anggap sebagai ketidakadilan dari Yang Maha Esa…sehingga kita terlupa tiada makna bahagia yang sempurna kerana istilah bahagia itu sebenarnya amat subjektif. Dalam kehidupan sehari-hari, bermacam-macam jenis manusia yang kita jumpa kan? Bak kata seorang sahabat, “Dunia ni pelik… manusia pun pelik-pelik…”. Ada manusia yang suka menyumbang demi kebahagiaan orang lain ---kerana merasa bahagia apabila orang di sekelilingnya bahagia. Ada manusia yang suka kepada kepentingan diri sendiri --- kerana hanya dengan cara itu dia dapat merasa erti bahagia. Ada juga manusia yang tak senang melihat kebahagiaan atau kesenangan orang lain, bila tak senang hati pun sakit. Untuk bahagia, dia akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya (menjaja cerita, membuka aib, dan sebagainya). Kerana dengan tindakan itu akan membuatkan dia puas dan rasa bahagia. Ada orang yang miskin harta tetapi tetap merasa kebahgiaan itu miliknya selagi berada di samping orang-orang tersayang. Ada manusia yang tidak memerlukan orang lain di sisi dan hanya merasakan bahagia itu miliknya apabila angka-angka di dalam akaun bank sentiasa membesar. See…. Bahagia itu sesuatu yang subjektif bukan?

Erm, kalaulah bahagia itu boleh dibeli seperti membeli ayam goreng semudahnya di Drive Thru… kalaulah bahagia itu boleh ditanam dan dijaga seperti semudahnya kita membela lalang-lalang di belakang rumah… kalaulah bahagia itu mudah untuk diberikan semudahnya bait-bait kata yang keluar dari bibir (tidak perlu bayarpun)… Pasti tiada istilah berduka dan jiwa lara kerana mimpi kebahagiaan yang tidak tercapai…

Kadangkala apabila ditimpa musibah atau dugaan yang tidak tercapai dek akal, kita memerlukan masa BERSENDIRIAN untuk menyingkap ketenangan merenung erti bahagia… Bukanlah segala apa yang kita impikan di dalam hidup ini kita akan dapat. Sebagai manusia kita hanya mencuba untuk melakukan yang terbaik dalam hidup dengan harapan segala yang DIA berikan untuk kita akan menjadi sempurna. Apabila kita telah mekakukan yang terbaik demi melihat bahagia dari sudut fikiran kita sendiri, namun terdapat anai-anai perosak yang mencabar harapan kita, adakah kita yang bersalah? Adakah ibu bapa yang bersalah? Adakah orang sekeliling yang bersalah? Atau mungkinkah kita sendiri yang tidak pernah mahu bersyukur…? Kita tidak mampu menghalang apapun yang telah berlaku…hanya perlu berdoa untuk dikurniakan hikmah di sebalik musibah yang menimpa… Mungkin perlu disisihkan rusuh hati, mungkin perlu dilupakan kecewa yang mengikat perasaan, mungkin perlu dibutakan mata apabila melihat bahagia orang tidak seperti seadanya yang kita miliki…

Apapun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti… Apapun yang berlaku USAHA dan DOA adalah segala-galanya. Mampukah diri untuk bertahan? Sandarkan pada Yang Esa walaupun tidak dapat memadamkannya di sebalik rintihan hati yang tersembunyi. Semakin terduga jalanan yang bernama KEHIDUPAN ini, semakin besar kasih-sayangNYA kepada kita…Wallahualam ~